Sunday, January 8, 2012

Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2011)


FRIDAY, 6 JANUARY 2012


Isu Logo Halal Selesai




SEJAUH mana tahap keprihatinan umat Islam negara ini terhadap status halal sesuatu produk terutama makanan? Jawapannya sangat tinggi. Setiap kali kita mahu membeli makanan, pasti kita akan tercari-cari logo halal di bungkusan selain melihat harga atau tarikh luput. Kita mungkin tidak tahu apa kandungan sesuatu produk kerana sering kali istilah digunakan saintifik, tetapi kalau disertakan logo halal, kita membelinya tanpa ragu-ragu.

Begitu juga kalau makan di restoran, kita akan melihat sama ada peniaga menampal logo halal atau sekurang-kurangnya menilai ia sebagai halal apabila pekerjanya memakai kopiah atau bertudung.

Persoalannya sekarang ialah sama ada logo halal yang ditampal itu diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (Main).

Isu ini sudah lama berlarutan, di sebalik aduan orang ramai serta pendedahan media, masih terdapat ribuan restoran dan produk makanan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

Alasan mereka mudah, mahu menjimatkan masa dengan membeli logo halal daripada syarikat swasta. Jika menerusi Jakim ia melalui proses lama kerana pihak berkuasa akan meneliti dan memeriksa semua aspek termasuk kebersihan premis.

Bermula tahun ini, alasan itu tidak boleh dipakai lagi kerana menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang diluluskan Parlimen pada 11 Julai lalu meletakkan Jakim dan Main sebagai agensi berwibawa yang mengeluarkan sijil dan logo halal di Malaysia.

Berbeza dengan APD 1972, mengikut Perintah Perihal Dagangan Penggunaan Perbahasaan Halal 1975 tidak menyatakan nama pihak berkuasa sehingga menyebabkan kekeliruan, maka dengan itu, Jakim bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggubal APD 2011 dengan menyebut Jakim dan Main sebagai agensi mengeluarkan sijil dan logo halal.

Menjelaskan lanjut, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, terdapat dua seksyen dalam APD 2011 yang berkaitan dengan pensijilan halal iaitu Seksyen 28 dan Seksyen 29.

"Seksyen 28 memperuntukkan kuasa menteri mentakrifkan apa-apa ungkapan dan bagi menghendaki maklumat diberikan. Menteri boleh menetapkan erti berkenaan sama ada ungkapan digunakan dalam perjalanan perdagangan, perniagaan atau dalam hal keadaan dinyatakan dalam perintah itu, maka berdasarkan seksyen ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011," katanya.

Beliau berkata, Seksyen 29 pula, menteri boleh menamakan mana-mana pihak berkuasa untuk memperakukan, menandakan, membekalkan atau menawarkan ke atas sesuatu barangan termasuk yang berkaitan dengan pensijilan halal.

"Maka berdasarkan seksyen ini, Menteri KPDNKK mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Bagi penandaan logo dan pensijilan halal, Jakim dan Main dinamakan sebagai agensi pensijilan halal di negara ini yang diiktiraf mengikut APD 2011 sekali gus tiada lagi logo halal lain kecuali logo halal Malaysia," katanya.

Terdapat tujuh perkara mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang menetapkan suatu makanan, barangan atau perkhidmatan memakai perkataan 'halal' atau mana-mana istilah lain menunjukkan ia boleh digunakan orang Islam iaitu tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang dilarang hukum syarak atau tidak disembelih mengikut hukum syarak; tidak mengandungi unsur najis mengikut hukum syarak; tidak memabukkan mengikut hukum syarak; tidak mengandungi bahagian atau anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan hukum syarak; selamat digunakan atau dimakan, tidak beracun, atau tidak memudaratkan kesihatan.

Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan dicemari najis mengikut hukum syarak dan dalam masa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan tidak bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang dilarang Islam serta terdapat unsur najis.

Othman berkata, mana-mana pihak membekalkan atau menawar makanan yang memperdaya atau mengelirukan orang ramai dengan menyatakan ia halal sudah melakukan kesalahan.

"Perbuatan itu termasuk penggunaan ayat suci al-Quran, perkara atau objek berkaitan dengan agama Islam di premis atau di bekas makanan," katanya.

Jika kesalahan itu dilakukan pertubuhan perbadanan mereka boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya tidak melebihi RM10 juta. Bagi individu, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika melakukan kesalahan kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 pula menetapkan hanya Jakim dan Main sebagai pihak berkuasa berwibawa untuk memperaku mana-mana makanan, barangan atau perkhidmatan itu halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Tiada seorang pun boleh memperaku bahawa mana-mana makanan, barangan atau perkhidmatan itu halal selain daripada pihak berkuasa berkenaan.

Bagi mendapatkan perakuan daripada pihak berkuasa itu, pemohon perlu mematuhi semua standard, prosedur dan pekeliling ditentukan Ketua Pengarah Jakim. Semua makanan atau barangan import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal kecuali diperakukan oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Denda kesalahan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 jika membabitkan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya RM500,000.

Individu yang sabit kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Othman berkata, APD 2011 sudah dikuatkuasakan pada 1 November 2011, tetapi kedua-dua perintah itu hanya berkuatkuasa bermula 1 Januari lalu.

"Bagaimanapun, Jakim memberikan tempoh satu tahun selepas berkuatkuasa perintah ini kepada mana-mana syarikat yang menggunakan logo halal syarikat swasta untuk menukarkannya, tetapi ia hanya bagi produk menggunakan pembungkusan atau kotak," katanya.

Beliau berkata, menerusi penguatkuasaan itu, isu penggunaanlogo halal tidak diiktiraf yang membelenggu pengguna Islam selama ini dapat diselesaikan, namun tidak menolak kemungkinan usaha pihak tidak bertanggungjawab tetap akan ada.

"Sehubungan itu kami dengan disokong kementerian serta agensi berkaitan sentiasa bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan. Saya juga berharap masyarakat mengambil berat mengenai logo halal yang dikeluarkan selepas ini kerana ia bukan saja membuktikan produk itu halal, tetapi menunjukkan tahap kebersihan serta kesucian semua peringkat proses pembuatannya," katanya.

Selain itu, Jakim turut merancang pelbagai pendekatan menghebahkan APD2011 dengan motto 1 Halal 1 Malaysia merangkumi program jelajah bagi memberi penjelasan mengenai perintah itu termasuk melalui media massa selain kepada pihak industri, agensi kerajaan berkaitan termasuk melalui khutbah dan kempen pintu ke pintu.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment